Oleh: Muhamad Nazmi Bin Ab Rahim
Malaysia kini mencatat kemajuan signifikan dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025, apabila melonjak ke tangga ke-54 daripada 182 negara, berbanding kedudukan ke-57 pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi menzahirkan hasil nyata daripada tekad kolektif Kerajaan MADANI untuk memperkukuh integriti nasional, memperbaiki struktur tadbir urus, serta memperjuangkan budaya ketelusan yang lestari.
Menurut laporan yang dikongsikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pencapaian ini mencerminkan komitmen moral dan politik untuk membanteras rasuah secara sistemik: suatu penyakit sosial yang lama menghakis daya tahan institusi dan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran awam.
Antara pemacu utama peningkatan CPI ini ialah pelaksanaan penguatkuasaan bersepadu oleh agensi teras seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Gabungan tindakan tegas ini telah membuahkan kejayaan besar termasuk pemulihan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana serta penumpasan kartel dan sindiket yang telah lama menjejaskan ekosistem ekonomi negara. Langkah ini menandakan pendekatan baharu dalam reformasi tatakelola: dari sekadar reaktif kepada preventif dan struktural. Ia membina semula sistem kawalan yang lebih telus, mengurangkan ruang ketirisan dan menegakkan akauntabiliti institusi.
Kerajaan MADANI turut memperlihatkan pendirian tanpa kompromi terhadap integriti institusi strategik negara, termasuk dalam sektor pertahanan dan keselamatan. Pembongkaran kes penyelewengan berprofil tinggi, tindakan terhadap penyalahgunaan kuasa serta pembasmian “kartel” dalam jentera awam menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa pun kebal daripada undang-undang. Pendekatan ini bukan sekadar bersifat hukuman, tetapi merupakan pembinaan moral nasional mengembalikan keyakinan rakyat bahawa keadilan bukan slogan, tetapi realiti yang diperjuangkan dengan keberanian politik dan kesedaran nilai.

Dari sudut keilmuan dan pentadbiran strategik, peningkatan kedudukan CPI ini mencerminkan kematangan struktur institusi negara dalam empat aspek utama: kestabilan dasar anti-rasuah nasional (NACP) yang diterjemahkan dalam tindakan; pemantapan mekanisme semak imbang antara agensi penguat kuasa dan pembuat dasar; peningkatan literasi integriti dalam sektor awam dan korporat; serta pengukuhan budaya akauntabiliti awam berasaskan prinsip maqasid syariah dan good governance. Namun begitu, kejayaan ini harus dilihat sebagai permulaan kepada agenda pembaharuan moral nasional bukan penamatnya. Ia menuntut kesinambungan usaha, pengawasan berasaskan data, dan pembudayaan nilai integriti dalam sistem pendidikan, kepemimpinan, serta urus tadbir tempatan.
Lonjakan Malaysia ke tangga ke-54 dunia bukan sekadar pencapaian pentadbiran, tetapi simbol kebangkitan moral bangsa. Ia menunjukkan bahawa dasar berasaskan nilai good governance, accountability, transparency, dan ihsan mampu menjadi teras kepada pembangunan negara maju yang berjiwa. Dalam kerangka Malaysia MADANI, perjuangan menentang rasuah bukan hanya isu pentadbiran, tetapi manifestasi kesedaran spiritual dan tanggungjawab ummatik: bahawa amanah tidak boleh diperdagangkan, dan integriti ialah tiang utama kemajuan negara.






















































Leave a Review